24 December 2010

Malam Amal Setulus Kasih Bersama Maher Zain



Rumah Titian Kaseh (RTK) adalah sebuah rumah perlindungan dan pusat jagaan anak-anak yatim dan piatu, ibu-ibu tunggal, orang-orang kelainan upaya (OKU) termasuk juga warga emas.

Anak-anak yatim di RTK ini terdiri daripada anak-anak hasil perpecahan rumah tangga, sumbang mahram, dan ada yang disebabkan dari kerakusan nafsu serakah ahli keluarga sendiri. Ibu tunggal yang tinggal di sini pula biasanya akan dilatih berniaga untuk menjana pendapatan untuk Rumah Titian Kaseh ini. OKU di sini pula kebanyakannya mempunyai masalah mental, seperti skizofrenia.

Rumah Titian Kasih ini diasaskan oleh seorang ibu tunggal sejak 13 tahun lalu iaitu Hajjah Sharifah binti Adlan, yang mesra dipanggil Mak Pah. Kami di iLuvislam.Com mengagumi ketabahan dan kegigihkan Mak Pah mencurah kasih sayang untuk RTK.

Bukan senang menjaga dan membuka sebuah rumah perlindungan, itulah yang dilalui oleh Mak Pah. Terbaru, RTK berhadapan dengan masalah tempat tinggal berikutan rumah yang disewa sebelum ini bakal dikembalikan kepada tuan punya.

Menyedari masalah ini, dan atas kesedaran membantu mereka yang susah, maka Muslim Aid Malaysia, Innovative Management Consultancy, Alumni ESQ dan Pusat Perlindungan PERNIM menganjurkan Malam Amal Setulus Kaseh Bersama Maher Zain, yang bertujuan untuk mengumpul dana bagi menyediakan sebuah tempat perlindungan yang selesa bagi penghuni-penghuni RTK.

Malam Amal Setulus Kaseh yang akan diadakan pada 26, 27 dan 28 Disember bertempat di Summit Hotel, Subang USJ bermula 8.00 malam sehingga 11.00 malam ini akan menampilkan penampilan istimewa penyanyi Maher Zain, dan turut diserikan dengan persembahan daripada kumpulan nasyid tempatan, antaranya Rabbani, Diwani, Devotees, Damascus, dan Marjan.

Lebih dari itu, majlis akan turut diserikan dengan persembahan istimewa oleh anak-anak dari Rumah Titian Kaseh sendiri.

Kepada badan-badan yang berminat untuk beramal, ini adalah peluang terbaik, dan kami di iLuvislam.Com difahamkan hanya tinggal beberapa meja sahaja lagi. Berikut ialah harga jualan meja dan kerusi untuk majlis ini. Sekiranya berminat, diminta menghubungi pihak yang berkenaan di nombor yang tertera di bawah.

Meja Cinta = (10 Meja x RM10,000.00)/ RM1000.00 seorang
Meja Kasih = (30 Meja x RM 5000.00) / RM500.00 seorang
Meja Sayang = (40 Meja x RM 3000.00) / RM300.00 seorang
Meja Rindu = (20 Meja x RM 2000.00) / RM200.00 seorang

1. Muhammad Kamarulazizi (Muslim Aid Malaysia) - 012 3377195
2. Nazirah Idris (IMC) - 013 3898534
3. Sukma (Alumni ESQ) - 016 3011540

Kami di iLuvislam.Com berharap, impian Mak Pah kepada penghuni-penghuni Rumah Titian Kaseh akan tercapai, dan mudah-mudahan akan lahir ramai lagi insan-insan mulia persis Mak Pah di bumi Malaysia. Sama-sama kita mendoakan, insyaAllah.